MENULIS HINGGA KE HUJUNG DUNIA

Rabu, 12 Disember 2012




Penulisan adalah salah satu bidang yang memungkinkan anda untuk mempelajari dan mengetahui semua perkara. Agama, sains, sukan, seni, kemahiran dan pelbagai bidang lain lagi berlegar dalam kotak maklumat anda. Lantas segala isi maklumat ini diterjemahkan dalam bentuk perkataan yang indah dan difahami dan terus disebarkan seantero benua.
Indah bukan berada dalam dunia pena. Tidak ada sebarang sekatan, hanya bernoktahkan iman dan keyakinan terhadap Allah SWT menjadikan muncung pena kita semua tidak dapat mencerobus ke sebarang simpang.
Dengan sedikit keluasan waktu yang diberikan ini izinkan saya untuk berkongsi sedikit penawar buat semua penggemar dunia penulisan.
 1.  Bahasa

Bahasa merupakan alat yang penting kepada bidang penulisan ini. Apa jua idea yang mahu dicernakan, maka bahasalah yang menjadi alat penyampaian daripada idea yang hanya melingkar di urat saraf kepada khalayak pembaca.

Begitu juga dalam aspek tatabahasa. Harus diingat seorang editor yang bakal memeriksa karya seorang penulis bukanlah seorang pembaca pruf yang sepatutnya berdepan dengan kelemahan tatabahasa dan kemudiannya terpaksa pula membetulkan. Walaupun tugas tersebut adalah tugas editor, tetapi editor juga adalah seorang manusia yang mempunyai emosi dan perasaan. Tugas seorang editor tidak hanya sekadar untuk mengubah koma kepada noktah yang telah dilakukan oleh anda secara berulang-ulang.

 2.  Ketabahan

Tidak ada seorang pun karyawan agong yang terus menghasilkan karya besar ketika pertama kali menulis. A.Samad Said, Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah, Zaharah Nawawi, Khadijah Hasyim dan lain-lain tidak dilahirkan dengan pena di tangan dan terus menghasilkan novel yang menjadi kegemaran khalayak ramai.

Kita harus meneriama hakikat bahawa hasil karya kita masih banyak lompang dan seandainya dihantar ke penerbitan atau editor mungkin bakal ditolak. Realitinya, apa jua yang kita tulis, mungkin boleh ditulis dengan lebih lagi seandainya usaha kita dibekalkan dengan ketabahan dan keazzaman yang tinggi.

3.Kepercayaan

Kepercayaan ini membentuk azam untuk menulis sesuatu yang ada pada fikiran kita dan kita percaya wajar untuk dikongsi oleh khalayak pembaca. Idea yang sedang berlingkar dalam urat saraf kita penting untuk dibentangkan kepda orang lain.
Tanpa kepercayaan, seseorang penulis tidak mempunyai kemampuan untuk meneruskan penulisannya, malah berasa ragu-ragu untuk melahirkan fikrah dan pandangan yang dimiliki.

4.Hadaf

Letakkan hadaf ketika menulis. Kataka sehari satu muka surat, atau pada minggu ini sebuah cerpen bakal diselesaikan, Insya-Allah. Walau bagaimanapun, jangan gundah andainya hadaf ini tidak tercapai kerana penulis tidak perlu tergopoh-gapah. Hadaf ini diletakkan supaya kita tidak meninggalkan bahan tulisan kita dalam waktu yang cukup berjarak sehingga idea yang sepatutnya boleh dikembangkan dengan baik, mati dan tidak sempat dibangkitkan semula.

Akhirnya jadikan penulisan kita sebagi suatu yang berguna kepada kepada pembaca. Jadikan ia bernafas dan berjiwa. Salam sayang buat semua pendamai bahasa, moga kita semua diberi ketenangan dalam berbahasa.

Safwan Abdullah
Takhasus Qiraat
Tahun 2



♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: