Keunggulan Sirahmu

Ahad, 20 April 2014













Helaian demi helaian ku selak,
Aduhai, betapa unggulnya lakaran sirahmu,
Keharumannya bisa menggentarkan kalbuku,
Dek ruh islam yang menyinari keunggulanmu,
Seandainya debu-debu sahara menutupi lakaran sirahmu,
Akan hadirlah sang bayu mengusirnya,
Agar sirahmu senantiasa hidup di sukma ummah,
Tidak sama sekali dilupakan.

Detik 1930,
Kemunculanmu di persada alam ini,
Hadirmu memayungi perantau ilmu,
Ummah mahasiswa mahasiswi di ardu kinanah ini,
Menyatupadukan dan membina fraternity,
Wadah untuk beraksi dan interaksi sesama penuntut,
Melahirkan talibul ilmi yang berkualiti dari segi sahsiah dan agama,
Yang bakal memegang tampuk pemerintahan akan datang,
Melestarikan alam dengan keindahan dan kesyumulan islam,
Adakah akan kembali zaman keemasan pemerintahan Khalifah
Akan tiba suatu hari,
Percayalah..

Ingin sekali ku ceritakan pada seluruh dunia,
Tahun 1952,
Di mana bumi Anbiya ini telah dicerobohi,
Petualang dari Israel dan Perancis,
Dikau tidak diam, tuli mahupun membuta mata,
Malah melangkah ke hadapan merelakan diri,
65 mahasiswa turun ke medan tempur
Sebagai pejuang – pejuang berhati kental,
Malah Si Puteri turut mengerahkan tenaga,
Menyediakan baju untuk si pejuang,
Lelahan keringatmu dan pengorbananmu,
Akan senantiasa diingati menyelusuri zaman berzaman
Akanku menyoroti langkahmu, mengabdikan aura perjuanganmu…

Adat perjuangan ada mehnah dan tribulasi yang bertandang
Tanggal 24 februari,
Kau telah ditarik pengiktirafan,
Mahasiwa mahasiswi bertungkus lumus,
Tidak gentar dan berputus asa
Memastikan dirimu senantiasa bergerak
Agar kebajikan anak-anak melayu dilindungi..
Hebatnya jiwa-jiwamu wahai pejuang Agama…

Duhai PMRAM,
Kepimpinan, kesahsian, dan kecekalanmu,
Bisa membangkit ombak semangat juang di sukma,
Kehebatan sirahmu pemangkin terus kesinambungan dalam
Menyebarkan wangian agama,
Melestarikan kesatuan dan ukhwah,
Menjana kebajikan ,
Kepada anak-anak melayu,
Kehadiranmu akan terus disanjungi,
Teruskan perjuanganmu, kami setia bersamamu,

Allahuakabar.


Nama penulis ialah saudari Fatimah Zuhra binti Abdul Lajis daripada PMRAM Cawangan Melaka yang mendapat tempat kedua di dalam kategori penulisan pada Pertandingan Jom Berkarya Sempena Ulang Tahun Penubuhan PMRAM Kali Ke-84.
♥ ANDA SUKAKAN ARTIKEL INI?? JANGAN LUPA KONGSIKAN KEPADA RAKAN ANDA ♥
Facebook Twitter StumbleUpon Digg Delicious Reddit Technorati Mixx Linkedin
[Get this Widget]

0 suara: